Haji Mohd Yassin Muhammad
Mat Indera, Haji Mohd Yassin Muhammad (Bapa Muhyiddin) dan Sheikh Fadhil Banten
Ada baiknya kita memahami susur galur aliran pendidikan ketiga-tiga tokoh ini sebelum melihat permulaan tercetusnya semangat perjuangan di dalam diri Mat Indera. Mat Indera pernah berguru dengan Sheikh Fadhil Banten. Sheikh Fadhil Banten adalah seorang ulama terkenal di Muar. Haji Mohd Yassin Muhammad pula mula berdamping dengan Sheikh Fadhil Banten selepas gurunya Kadi Abu Bakar Alam meninggal dunia pada 1938. Mat Indera sudah berguru dengan Sheikh Fadhil Banten sejak 1937. Hubungan Haji Mohd Yassin dan Sheikh Fadhil Banten amat rapat, mereka bersama-sama mendalami ilmu agama di pondok Bunut Payong, Kelantan. Mereka juga pernah ke Banten, Jawa Barat menziarahi ulama-ulama tersohor di sana.
Ketika Jepun memasuki Tanah Melayu, Sheikh Fadhil Banten dititah untuk berkampung bersama-sama dengan Sultan Johor dan kerabat lain di Istana Pasir Pelangi, Stulang Johor Bahru. Haji Mohd. Yassin pula diarah memasuki kampung dan menenangkan rakyat yang benci dan takut kepada Jepun. Atas arahan gurunya, Haji Mohd Yassin berdakwah disamping mengawal kawasan-kawasan dan kampung Sheikh Fadhil Banten iaitu di Bakri, Serom, Bukit Gambir, Lenga, Bukit Kepong, Gersik dan Panchor.
Bagaimanapun sebenarnya Jepun telah diarahkan agar tidak membuat kerosakan dan kesusahan yang besar di Johor kecuali jika terpaksa. Ini adalah sebagai tanda hormat Jepun kepada Sultan Johor, penerima Pingat Bintang Matahari Terbit Maharaja Jepun Kelas I yang bertaraf kerabat DiRaja Matahari Jepun. Perkara ini tidak diketahui ramai rakyat Johor dan Haji Mohd Yassin mengetahui hal ini daripada gurunya, Sheikh Fadhil Banten. Ketika zaman pemerintahan Jepun inilah Mat Indera mula berguru dengan Haji Mohd Yassin kerana Sheikh Fadhil Banten berada di istana bersama Sultan Johor. Saat-saat Mat Indera berguru bersama Haji Mohd Yassin ini yang menjadikan hubungan mereka akrab bagaikan sahabat.
Askar Fiji di Tanah Melayu
Secara sedar atau tidak, sebenarnya dalam keghairahan British untuk mempertahankan Tanah Melayu daripada jatuh ke tangan Jepun, mereka telah membawa begitu ramai Tentera Gurkha dan Tentera Fiji ke Tanah Melayu bagi menguatkan barisan tentera mereka. Berbalik kepada isu Bukit Kepong yang dihangatkan oleh media utama ketika ini, tindakan membawa masuk Askar Gurkha dan Fiji inilah yang menjadi punca serangan di Bukti Kepong. Saya akan ulas lebih lanjut di dalamsiri selanjutnya.
Perbezaan Haluan Mat Indera dan Haji Mohd Yassin - Kaum Muda VS Kaum Tua
Pada tahun 1945, setelah tamat Perang Dunia Kedua, Mat Indera mula bekerja sebagai buruh lembaga pelabuhan Muar. Kerana keberanian, ketokohan dan kebolehannya itu yang telah berjaya menyatukan kaum buruh dan memimpin perjuangan mereka. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Kesatuan Buruh Pelabuhan serta melancarkan berbagai bentuk perjuangan untuk membela kepentingan kaum buruh yang tertindas. Semangat perjuangan yang tinggi telah mendorongnya bekerja keras, di samping menjadi buruh untuk mendapatkan nafkah sara hidup dan aktif dalam gerakan kemerdekaan.
Pada waktu siang, beliau mengembangkan pekerjaan di kalangan buruh dan lain-lain lapisan masyarakat yang progresif serta membakar semangat mereka untuk melawan penjajah demi kemerdekaan tanah air. Pada waktu malam pula, beliau bersama rombongannya menjelajah ke kampung-kampung mengumpulkan orang ramai mengadakan rapat-rapat umum dan berpidato untuk membangkitkan semangat orang rami. Orang ramai sangat tertarik dengan pidatonya serta memberikan sokongan yang kuat kepadanya. Di sinilah beliau mencipta nama yang harum di kalangan massa rakyat di Muar dan kawasan sekitarnya.
Ketika itu Mat Indera bukan saja menjadi seorang guru agama yang terkenal, malah juga seorang pemimpin buruh yang hebat. Pernah berlaku peristiwa kaum buruh pelabuhan Muar mengemukakan tuntutan kenaikan upah dan layanan kerja yang baik daripada pihak majikan. Akan tetapi, pihak majikan yang hanya tahu mengaut untung telah menolak tuntutan mereka. Kaum buruh yang marah telah mengadakan mogok besar-besaran menuntut kenaikan upah dan perbaikan syarat kerja. Pihak majikan telah menekan mogok besar-besaran itu dengan memerintahkan polis menyerbu pemogokan dan menangkap Mat Indera dan menghumbannya ke penjara.
Beliau akhirnya dipenjarakan beberapa bulan. Walaupun dipenjara Mat Indera menyemai semangat juangnya dengan meremehkan polis penjajah. Mat Indera sentiasa memberi penerangan dan pendidikan kepada rakan-rakan sepenjara dan mendapat sambutan yang baik daripada mereka. Ada beratus-ratus buruh pelabuhan yang sanggup tampil untuk menjaminnya keluar dari penjara, tetapi sebagai memprotes tindakan memenjarakannya yang tidak adil ini beliau menasihati kaum buruh agar tidak berbuat demikian. Sebaliknya beliau meniupkan semangat para buruh supaya meneruskan perjuangan dengan gigih di luar ketika beliau berjuang dari dalam penjara.
Mat Indera diarak oleh buruh-buruh pelabuhan dari Jalan Maharani ke Jalan Abdullah - Johan bin Indera
Ketika Mat Indera dibebaskan, Pak Johan sendiri menyaksikan abangnya Mat Indera telah diarak bagaikan pembesar layaknya oleh kaum buruh dari Jalan Maharani ke Jalan Abdullah di Muar menurut Pak Johan.
Dalam masa yang sama, Haji Mohd Yassin bersama 24 orang sahabat telah menubuhkan Persatuan Lujnah Pengembangan Pelajaran Igama Islam Muar. Haji Mohd Yassin lebih menumpukan kepada keperluan pendidikan agama dalam masyarakat Melayu di Muar. Haji Mohd Yassin melihat keadaan ketika perang dan selepas perang memperlihatkan bahawa pemuda yang berpendidikan agama lebih cepat menyesuaikan diri. Mereka yang kurang berpendidikan agama berhadapan masalah kekalutan dan kekacauan. Mereka perlu bergerak kerana masalah sosial yang teruk seperti pemuda yang berpeleseran, kaum wanita yang kerap ke bandar. Ramai orang melayu yang menghabiskan masa dengan berjudi dan meminum arak, tidak solat dan menjauhi masjid.
Permasalahan ini timbul kerana sistem pendidikan ketika itu, pastinya dari penjajah British yang mengutamakan peluang pekerjaan kepada lepasan berpendidikan Inggeris dan Melayu. Bekas pelajar berpendidikan agama tidak dilayan dengan baik.
Haji Mohd Yassin meneruskan perjuangan mengembangkan dakwah Islamiah mengikut fahaman Kaum Tua yang berpegang kepada amalan tasauf seperti Khaujakan dan kesufian yang lemah lembut melalui ceramah umum dan pendidikan. Beliau turut cuba menarik beberapa sahabat dan kenalannya yang berjuang mengikut fahaman Kaum Muda bersama Mat Indera.
Sebenarnya ketika usianya belasan tahun, Haji Mohd Yassin juga seorang yang amat berminat mengikuti perkembangan dakwah Kaum Muda. Pendekatan Kaum Muda adalah dengan menggunakan pendidikan moden dan sastera serta bermotif anti penjajah di dalam objektif dan misi mereka. Haji Mohd Yassin sendiri pernah meminta izin daripada gurunya ketika itu Kadi Abu Bakar untuk menuntut ilmu di Siak, Sumatera. Bagaimanapun ia dihalang oleh gurunya kerana berdasarkan fahamannya, fahaman Kaum Muda yang dipelopori oleh Sheikh Tahir Jalaluddin dianggapnya terlalu agresif dan banyak mendatangkan salah faham ilmu dan mudarat. Bagi mengelakkan Haji Mohd Yassin terus belajar di sisinya tanpa memikirkan hal-hal lain dan terpengaruh dengan Angkatan Muda, Mohd Yassin telah dinikahkan gurunya dengan Cik Maznah binti Daud pada usianya 16 tahun. Akhirnya Haji Mohd Yassin ini menjadi anak murid kesayangan gurunya, Kadi Abu Bakar Alim.
Masuk Hutan Berbaju Kuning Berseluar Pendek
Ahmad bin Indera kemudiannya terbabit dalam politik apabila menyertai ahli sayap pemuda Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dengan matlamat membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris. Mat Indera juga aktif didalam pergerakkan yang dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API).
Apabila Parti Kebangsaan Melayu Malaya diharamkan, Mat Indera telah mengambil langkah untuk masuk ke hutan. Tindakan Mat Indera ini tidak diketahui oleh seorang pun ahli keluarganya ketika itu. Menurut Pak Johan, pada hari Mat Indera keluar diri dari rumah dan masuk ke dalam hutan hanya dengan berpakaian baju kuning dan berseluar pendek. Pada ketika itu usia Pak Johan baru mencecah 8 tahun. Pada sangkaan awal ayahnya-Indera bahawa anaknya itu sudah hilang dan dibunuh komunis. Kerana sebelum itu ada seorang ahli keluarga Mat Indera iaitu bapa saudaranya, Yahya telah dibunuh komunis.
Setelah lama tidak berhubung dari pihak keluarga, akhirnya mereka menerima perutusan dari Mat Indera melalui surat. Di sinilah bermulanya cara Mat Indera berhubung dengan ahli keluarganya, di dalam surat itu hanya dinyatakan pesanan ringkas seperti
'Jumpa aku Pagoh', dan apabila bapanya berada di Pagoh barulah Mat Indera muncul menemui bapanya.
Bersambung : Nantikan Siri seterusnya, 1. Punca Serangan Bukit Kepong
2. Keluarga Mat Indera dibuang daerah
3. Misteri WASIAT Mat Indera
Siri 4 akan menyusul jika Siri 3 tidak cukup untuk menamatkan keseluruhan kisah Mat Indera -Author Faethal
sumber Pulakdah