Oleh:MSK
Sekali lagi, Umno akan terus memainkan isu “Derhaka” dengan menggunakan isu WWW1 sebagai asas untuk menjatuhkan imej DS Nizar Jamaludin. Hari ini, pasukan polis Johor akan datang ke Perak untuk mengambil kenyataan Nizar di Ipoh. Selepas ini, besar kemungkinan, terdapat tindakan yang akan diambil terhadap Nizar.
Mediaperak akan menyiarkan kenyataan Nizar sebaik saja selesai pertemuan diantara pegawai-pegawai dari Polis Johor esok. Dan sebagai mukaddimah kepada serangan Umno seterusnya, elok kita imbas kembali sejarah-sejarah penderhakaan terhadap Raja-Raja Melayu yang telah dilakukan oleh Umno.
Selayang pandang kemelut Perak
Istilah “Sembah Derhaka” oleh DS Nizar kebawah DYMM Sultan Perak pada 5 Februari 2009 adalah “sembah sopan lagi beradab” yang termaktub sebagai halal dalam adat istiadat dan budaya Melayu turun temurun. Sembah begitu adalah adab tentang cara berbeza pendapat dengan Raja yang memerintah. Tiada cacat dan tiada cela.
“Sembah Derhaka” bukannya “menderhaka” dalam konteks menentang dan memberontak terhadap Raja. Ia cuma kaedah berbahasa dibawah bumbung istana, semasa majlis perbincangan antara rakyat dengan Raja, seperti bahasa musyawarah dalam sidang mengadap di Balai Rong Seri istana Raja zaman berzaman.
Pertembungan antara rakyat dengan istana negeri Perak yang berlaku pada tahun 2009 adalah angkara Umno, lantaran hajat politik yang songsang dan tidak beretika. Demi hajat itu, Umno tergamak berdiri dibelakang Raja dan menolak baginda ke hadapan agar berkelahi dengan rakyat jelata.
Setelah memangsakan Raja untuk hajat politik yang menafikan mandat rakyat, Umno terus merosakkan imej istana dimata dan ahti rakyat jelata melalui provokasi media cetak dan elektronik yang mereka kuasai. Tari Umno memang berseni. Mereka berlagak mempertahankan Raja. mereka mencerca sang penderhaka. Kononnya yang malang itu raja dan yang celaka itu rakyat penderhaka.
Sebenarnya, pertembungan itu ciptaan Umno. Rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat dirangsang supaya mengherdik istana. Apabila Raja terguris murka, Umno melompat menjadi juara sembah taat dan setia yang penuh pura-pura. Saat itu segala hajat Umno pasti diperkenankan oleh Baginda. Matlamat menghalalkan cara. Divide and Rule.
Sejarah ikatan taat setia rakyat dan Raja Melayu.
Catatan sejarah Bukit Seguntang menceritakan taat setia orang Melayukepada Raja bermula dengan ‘wadat” antara Raja bernama Sang Sapurba yang bergelar sri Tri Buana dengan rakyat yang diwakili oleh Demang Lebar Daun.
Sri tri Buana diminta oleh Demang Lebar Daun agar menerima anak cucunya sebagai rakyat yang tidak dizalimi. Andai rakyat melakukan kesalahan, hukumlah mereka dengan adil dan saksama, apatahlagi jika melanggar hukum syarak, maka keadilan syarak itulah yang utama. Sri Tri Buana kabulkan permintaan itu dengan syarat sekelian rakyat jelata jangan derhaka kepada semua Raja dan keturunannya.
Kata Demang Lebar Daun, “Baiklah Tuanku, tetapi jikalau anak buah Tuanku yang dahulu mengubah ia, maka anak cucu patik pun akan mengubahlah ia.” Demikian “wadat” antara keduanya iaitu antara Raja dan rakyat.
Maka titah Sri Tri Buana, Bailah, kabullah hamba akan wadat itu.”
Sempadan hak dan tanggungjawab antara Raja dan rakyat dalam kisah itu diakhiri dengan akuan “jikalau wadat ini dilanggari, dibalikkan Allah bumbung rumahnya kebawah, kakinya keatas”., dengan maksud nescaya jadilah negeri itu porak poranda.
Menurut sejarah Melayu, antara keturunan Sri Tri Buana ialah Sultan Melaka dan keturunannya termasuk Sultan Perak dan Kesultanan Johor abad ke 16. Kesultanan Perak yang ada pada ahri ini adalah keturunan Sultan Muzaffar Shah, anakanda Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah. Kesultanan Johor juga adalah keturunan Sultan Mahmud Shah, namun telah berakhir pada tahun 1699 dengan peristiwa ‘mangkat dijulang’ yang masyhur itu.
Kesultanan Terengganu mempunyai hubungan dengan Melaka melalui jurai keturunan Bendahara. Pada awal abad ke 20, Sultan Zainal Abidin III bersama para ulama telah menggubal undang-undang tubuh negeri Terengganu yang dinamakan ‘Itqanul Muluk bi Taqdisis Suluk’ yang menetapkan Sultan tidak boleh menyerahkan negeri itu kepada kuasa asing sebagai salah satu syarat mendapat ketaatan rakyat. Jika dilanggar, maka tiada wajib lagi rakyat untuk bersembah taat kepada Raja. selepas Raja menerima Penasihat British pada tahun 1919, rakyat bangkit menentang melaluipemberontakan besar antara tahun 1924 hingga tahun 1928.
Sejarah bangsa Melayu dihiasi dengan adat istiadat dan budaya taat setia rakyat kepada Raja. Pantang bangsa Melayu menderhakai Raja. Sedikit cebisan kisah-kisah kebangkitan rakyat menyanggah istana, hanyalah dikala keadilan Raja benar-benar gersang sehingga rakyat terlalu derita. Selain tu, kisah istana dan rakyat jelata indah belaka dengan junjung kasih taat setia selama-lamanya.
Umno tipu Sultan – Ghazali Jawi enggan letak jawatan MB (1974-1977)
Umno terlupa kisah penipuan dan derhaka mereka kepada Sultan Perak selepas pilihanraya Ogos 1974. Ketika itu, Perdana Menteri Tun Abdul Razak mengemukakan nama Ghazali Jawi, (Bapa kepada Tajol Rosli) untuk diperkenankan menjadi Menteri Besar Perak. Sultan Idris Shah II enggan memberi perkenan kerana Ghazali Jawi telah ditangkap atas tuduhan rasuah sewaktu kali pertama menjadi Menteri Besar Perak pada tahun 1960.
Perlantikan Menteri Besar Perak tertangguh lebih sebulan hingga bulan September 1974. Tun Razak melantik Ishak Tadin menjadi perunding untuk menyelesaikan krisis antara Sultan Idris Shah dengan Ghazali Jawi.
Ishak Tadin memujuk Sultan Idris Shah dengan mengatakan bahawa Tun Abdul Razak memohon Baginda Sultan melantik Ghazali Jawi sebagai Menteri Besar Perak dengan bersyarat iaitu lantikan bertempoh hanya dua tahun sahaja. Selepas tempoh itu, Sultan boleh melantik ADUN lain sebagai MB. Akhirnya Ghazali Jawi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada 4 September 1974.
Dua hari selepas itu, Sultan memanggil Mokhtar Petah mengadap baginda di Istana Tambun, Ipoh. Mokhtar Petah memaklumkan kepada Sultan bahawa tiada termaktub dalam Perlembagaan yang Sultan boleh melantik seorang Menteri Besar untuk dua tahun sahaja.
Apabila dimaklumkan akan hal itu, Sultan amat kesal dengan perlantikan yang telah dibuat. Mokhtar memohon agar Baginda bersabar untuk mengelakkan krisis diantara parti politik yang memerintah (UMNO) dengan istana. Baginda bersetuju walaupun sangat terkilan kerana Umno telah memperdaya Baginda dengan janji-janji yang tidak mungkin boleh ditunaikan.
Setelah berlalu tempoh dua tahun, Ghazali Jawi tidak mahu berundur dari jawatan Menteri besar. Sultan telah membangkitkan janji Perdana Menteri (melalui Ishak Tadin) mengenai tempoh dua tahun sahaja sepatutnya Ghazali Jawi menjadi MB.
Ghazali Jawi dan pemimpin Umno telah menyanggah titah Sultan Idris Shah dengan berkata “Tidak ada dalam perlembagaan Negeri Perak bahawa Sultan melantik seorang ahli dewan Undanagan Negeri sebagai Menteri Besar selama dua tahun sahaja.”
Pergerakan Pemuda Umno berkeras dengan pendirian:
“Sultan Perak mempunyai hak memberi perkenan melantik seseorang memegang jawatan Menteri Besar, tetapi setelah diperkenankan perlantikan itu, Sultan tidak ada hak mengikut Perlembagaan Negeri untuk memecat atau memerintahkan Menteri besar supaya meletakkan jawatan.”
“Hak untuk memecat atau memerintahkan seseorang berhenti dari Menteri Besar adalah hak Presiden Umno.”
Krisis antara Sultan Idris Shah dengan Umno Perak berlarutan sehingga tahun 1977. Sepanjang tempoh itu, Umno Perak berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan menyokong bekas Menteri Besar Kamarudin Mat Isa manakala satu kumpulan lagi menyokong Ghazali Jawi untuk terus menduduki kerusi Menteri Besar.
Oleh kerana tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyingkirkan Ghazali Jawi daripada kerusi Menteri Besar Perak, maka Sultan telah bernazar selagi Ghazali Jawi tidak meletak jawatan, Baginda akan terus menyimpan janggut, jambang dan misai serta tidak akan menandatangani sebarang surat Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan exco Kerajaan selama dua tahun.
Ghazali jawi hanya melepaskan jawatannya pada tahun 1977 atas kehendak Perdana Menteri baru iaitu Tun Hussein Onn. selepas itu, Sultan Idris Shah melantik Dato Seri Haji Mohamad bin Haji Wan Teh sebagai Menteri Besar baru.
bersambung….
No comments:
Post a Comment