Entah apa istimewanya, media massa milik Umno begitu gemar memainkan isu tuduhan liwat membabitkan Ketua Umum KeADILan, Dato Seri Anwar Ibrahim.
Sejak tuduhan dilemparkan kepada Anwar ekoran laporan polis yang dibuat pemandu sukarela pejabat mantan Timbalan Perdana Menteri itu, 23 Jun lalu, isu liwat ini dimainkan saban hari dan menjadi isu paling sensasi dalam laporan-laporan media massa pro-BN.
Ketika siasatan polis sedang dijalankan dan episod-episod sampingan kes liwat itu digembar-gemburkan menjadi isu nasional dan antarabangsa (isu campur tangan Amerika Syarikat terhadap hal ehwal dalaman Malaysia), ada kalangan pemimpin Umno yang semacam tidak sabar-sabar mahu Anwar bermubahalah.
Bukan itu sahaja, tulisan pemuda yang mendakwa dirinya diliwat Anwar dalam blog tunangannya dipetik dan dijadikan semacam hujah bahawa Anwar takut untuk bermubahalah..
Pergerakan Pemuda Umno pada 6 Julai memaklumkan akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberi penjelasan kepada akar umbi mengenai isu tuduhan liwat membabitkan Anwar.
Ketuanya, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jelajah yang akan dilakukan bersama barisan Exco Pergerakan Pemuda amat penting untuk memberi penerangan mengenai pembohongan dan muslihat Anwar yang dilihat boleh menghancurkan negara.
Begitulah hebatnya isu liwat ini bagi Pemuda Umno sehingga kononnya mampu 'menghancurkan negara'.
Bukan itu sahaja, Hishamuddin berharap jelajah yang akan bermula di Johor itu "diharap akan dapat menyuntik semangat Pemuda Umno di peringkat akar umbi selain mendedahkan pembohongan besar serta muslihat Anwar selama ini".
Begitulah tingginya harapan Hishamuddin terhadap isu liwat ini sehingga yakin ia mampu "menyuntik semangat" pemuda Umno yang gamaknya semakin malap akibat kekalahan mengejut BN di lima negeri dan kesukaran hidup ekoran kenaikan harga minyak.
Dalam keghairahan pemimpin Umno mendesak Anwar bersumpah, mantan TPM yang pernah menghadapi tribulasi serupa pada 1998 yang membawa kepada tahanan ISA dan enam tahun pemenjaraannya tidak mudah melatah.
Malah Anwar bertegas tidak akan melakukannya atas nasihat ulama dalam dan luar negara termasuk Mufti Perak Dato Seri Harussani Zakaria dan bekas Mufti Wilayah Datuk Hashim Yahaya.
Sehubungan itu pada 9 Julai, Anwar membuat laporan di Unit Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menuntut tindakan undang-undang syariah diambil di bawah peruntukan qazaf terhadap Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Qazaf adalah satu kesalahan dalam Seksyen 41, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 yang merujuk kepada tuduhan zina palsu terhadap orang lain.
Mengikut peruntukan itu, sesiapa yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki atau ikrar (pengakuan) orang yang dituduh, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum denda RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Menurut Anwar, keputusan membuat laporan itu dibuat selepas beliau dinasihati beberapa ulama dan peguamKamar Ainiah Kamarulzaman, peguam syar'ie yang mewakili Anwar menjelaskan, laporan itu dibuat memandangkan dalam kes liwat yang sedang dihadapinya, hukuman qazaf ke atas orang yang membuat tuduhan palsu tiada dalam undang-undang jenayah sivil.
Bagaimanapun seperti dijangka, media massa pro-Umno tidak serik-serik untuk mempolitikkan isu liwat ini.
Utusan Online di waktu yang sama memetik kenyataan Penasihat Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Paduka Zaitoon Othman kononnya laporan Anwar itu seolah-olah �mencari perlindungan� atas dakwaan liwat yang masih belum dibuktikan.
Sememangnya Persatuan Peguam Muslim membawa suara Umno dalam apa juga isu yang melanda negara. Lihat sahajalah tindakan persatuan itu dalam membela Kerajaan BN dalam isu pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas pada 1988.
Maka komen-komen dangkal beberapa peguam pun dirakam bagi menguatkan hujah Zaitoon. Semuanya bagi menghalalkan tindakan Umno dan BN mengeksploitasi isu liwat ini jauh melewati isu-isu negara yang lebih penting seperti kenaikan melampau harga minyak, rendahnya kredibiliti kerajaan yang memerintah, rasuah, inflasi dan kadar jenayah yang meningkat.
Malah kes liwat ini dijadikan senjata untuk merenggangkan hubungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa Umno dan BN akan terus mengeksploitasi isu liwat ini bagi menghadapi pengaruh Anwar dan Pakatan Rakyat.
Politik lendir ini dijadikan modal utama BN dan Umno untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu lain yang lebih penting dan mendasar.
Walau apa pun kesudahan episod yang memalukan negara ini, ingatan Presiden PAS kepada media massa aliran Melayu yang sengaja membesar-besarkan isu peribadi melebihi isu rakyat perlu diberi perhatian.
Dunia seluruhnya melihat bagaimana rendahnya tahap politik Melayu berbanding bangsa-bangsa lain di negara ini dan di peringkat global.
Ketika Iran menjadi tumpuan antarabangsa kerana melancarkan ujian peluru berpandu yang menggentarkan Amerika dan Israel, politik Melayu masih terperangkap dalam isu peribadi pemimpin yang sepatutnya diserahkan kepada MahkamahMedia massa Melayu begitu ghairah membicarakan soal liwat dan mubahalah, sedangkan bangsa Melayu majoritinya menghadapi saat-saat sukar dalam menempuh hidup seharian akibat kenaikan harga minyak dan barang keperluan harian.
Politik lendir ini perlu dihentikan. Dan tiada siapa yang lebih berhak menghentikannya selain rakyat! _
No comments:
Post a Comment