Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berpendapat, UMNO perlu membuat penstrukturan semula organisasi parti itu dengan membubarkan sayap Puteri dan Putera UMNO.
Ikuti sidang media beliau yang diadakan di ibu pejabat parti itu, di sini, semalam.
Soalan: Daripada 974 aduan (sejak dari 2007 hingga Januari 2009), berapa banyak aduan yang telah diserahkan ke Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?
Tan Sri: Sebenarnya fungsi dan tindakan BPR serta SPRM berbeza dengan Lembaga Disiplin UMNO. Siasatan kita dan mereka berasingan, kita (lembaga disiplin) buat dengan cara siasatan kita, jadi kita tidak tahu berapa yang telah disiasat oleh mereka.
Kita hanya siasat berdasarkan laporan yang diberikan kepada kita, tetapi ada kes yang pada saya kita harus berbincang dan adakan kerjasama dengan BPR. Kita boleh bertukar-tukar fikiran, pandangan dan sebagainya supaya kita dapat menghapuskan gejala politik wang ini.
Soalan: Bagaimana dengan mereka yang sedang disiasat oleh SPRM? Adakah lembaga disiplin dapat laporan?
Tan Sri: Kebanyakan kes ada juga kita terima. Sebenarnya lembaga disiplin parti adalah satu badan yang ditubuhkan oleh UMNO untuk menghapuskan gejala politik wang ini dan kita berasaskan kepada apa yang diberikan kesalahannya di bawah kod etika UMNO.
Bermakna hanya soal kod etika, jadi sebab itulah kita berasaskan kepada kesalahan etika sahaja. Kita tidak ada kuasa seperti yang terdapat di BPR atau SPR sehingga pergi tanya orang (soal siasat) dan sebagainya, cara kita bukan seperti itu.
Soalan: Jika sekiranya mereka didapati bersalah adakah lembaga disiplin akan menggantung keahlian mereka?
Tan Sri: Kita akan lihat keadaan, jika perlu kita buat tindakan...kita akan bertindak. Jika tindakan daripada SPRM sudah mencukupi, kita tinggal begitu sajalah. Kita tidak boleh bagi satu keputusan yang muktamad (mengenai perkara ini).
Soalan: Adakah lembaga disiplin akan menyerahkan aduan rasuah atau salah guna kuasa kepada BPR atau SPRM sebab Tan Sri kata badan itu mempunyai lebih kuasa daripada lembaga disiplin?
Tan Sri: Itu terpulang kepada perbincangan kita, kalau perlu kita serah. Sebaliknya sekiranya pihak BPR atau SPRM telah mengambil tindakan mereka sendiri, maka kita tidak boleh ganggu.
Soalan: Lembaga disiplin bersedia untuk bekerjasama dengan BPR dan SPRM?
Tan Sri: Ya, kita nak menghapuskan gejala-gejala rasuah maka tidak ada cara lain. Kita sanggup bekerjasama untuk menghapuskan gejala rasuah politik ini. Saya juga berharap pemimpin dan ahli UMNO akan berfikir bukan sahaja untuk parti UMNO tetapi untuk negara. UMNO adalah satu parti yang menjadi tulang-belakang bukan sahaja kepada Barisan Nasional (BN) tetapi kepada negara. Sejak dari 50 tahun lepas telah membawa kebaikan kepada negara maka UMNO perlu diperbaiki dan diperkuatkan semula. Saya merayu kepada pemimpin dan ahli parti, janganlah buat perkara macam ini (gejala rasuah). Saya minta pemimpin sedar. Saya nak nyatakan, lebih banyak kita adakan pemilihan, lebih banyak lagilah rasuah politik berlaku.
Sebenarnya saya fikir, perlukah ada Puteri? Perlukah ada Putera? kedua-dua sayap ini menggalakkan lagi berlaku amalan rasuah politik. Di England rasanya tidak ada ‘women or ladies association’ baik dalam parti Konservatif mahupun Parti Buruh. Pergerakan Pemuda dan Wanita pun perlu juga dipertimbangkan, sebab saya rasa tidak ada kepentingan. Kita dapat mengurangkan masalah ‘duit keluar’ kerana jika kurang pertandingan maka kuranglah gejala rasuah.
Sama juga sistem kuota, saya dah katakan dahulu bahawa sistem ini telah membawa kepada satu gejala yang menyebabkan akibat buruk. Sama juga pertandingan dalam pemilihan sayap Puteri dan Putera. Kalau boleh Majlis Tertinggi (MT) fikirkanlah, kalau kita mahu kurangkan gejala ini, maka perlu kita buat.
Soalan: Tan Sri akan cadang kepada MT supaya membubarkan sayap Puteri dan Putera UMNO?
Tan Sri: Puteri dan Putera ini sangat muda. Mereka ni golongan muda yang perlu memberikan fokus kepada pelajaran dan jangan bawa mereka dalam politik. Mereka muda lagi dan belum tiba masanya untuk berpolitik, itu pandangan saya.
Soalan: Maksudnya organisasi UMNO itu sendiri perlu distrukturkan semula?
Tan Sri: Ya, tapi saya tak tahulah sama ada perkara seperti ini diterima oleh MT dan pemimpin UMNO atau tidak. Tapi kalau kita nak mengurangkan gejala rasuah yang berlaku sekarang ini, maka Puteri dan Putera malah pergerakan Pemuda dan Wanita pun perlu dipertimbangkan untuk dibubarkan.
Soalan: Tapi ramai pihak berpendapat ini adalah cara terbaik untuk beri pendedahan awal kepada golongan muda.
Tan Sri: Tak payahlah awal sangat, dia kena belajar dulu. Kita bergantung pada orang muda untuk bawa negara pada tahap yang tinggi setanding dengan negara-negara lain. Jika politikkan mereka, orang muda sekarang tidak ada kerja lain, politik sahaja.
Banyak aduan yang saya dengar Putera pun ada main duit juga...Puteri pun ada main duit juga. Tapi tidak siapa pun datang lapor kepada lembaga disiplin.
Soalan: Adakah Tan Sri sudah mencadangkan kepada MT?
Tan Sri: Saya tak bawa lagi pada MT tapi ini yang saya fikirkan sejak beberapa bulan yang lepas. Mungkin saya akan buat satu pandangan bertulis nanti tapi itu terpulanglah kepada MT untuk menerima atau tidak.
Soalan: Bagaimana dengan status Adun Bota (Datuk Nasarudin Hashim) yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR)?
Tan Sri: Pada saya, (Nasarudin) tidak patut buat begitu. Hanya sebab tak puas hati beberapa perkara terus lari daripada UMNO. Kita boleh selesaikan perkara-perkara ini, saya kecewa betul pada pemimpin UMNO yang buat macam tu.
ummi..
nampaknya terlalu banyak masalah disiplin dalam amno sehingga Ku Deen macam kecewa sangat2 dengan disiplin ahli2 amno...apa yang Ku Deen harapkan untuk memulihkan imej amno..bolehkah selesai masalah politik wang dalam amno ni dengan buang putera dan puteri...??
politik wang ni dah jadi kemestian dalam amno...tak kira ada putera atau puteri..ia tetap berlaku kerana pengamalnya ada disetiap peringkat dan lapisan dalam amno..dah tu macamana nak moleknya amno..nak dapatkan kuasa kena melabur dulu...itu kata2 yang biasa keluar dari mulut orang2 amno sendiri...
kalau macam ni la pandangan Ku Deen mengenai pemuda dan pemudi amno...memang sah lah kewujudan putera dan puteri hanya mgabihkan boreh yo..!!
wallahualam...
No comments:
Post a Comment