Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menuntut beliau mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat bagi membahaskan usul tergempar terhadap kerajaan pimpinannya.

"Ini mengikut Peraturan 11 (3) Parliament sebagai respons segera terhadap politik hari ini," katanya.
Bercakap dalam satu sidang akhbar, pemimpin Pakatan Rakyat itu berkata, pakatan pembangkang mahu membahaskan usul tidak percaya terhadap Abdullah.
Anwar mahu sidang tergempar itu diadakan selewat-lewatnya Selasa depan.

PM tolak sidang tergempar Parlimen
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menolak desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Parlimen mengadakan sidang tergempar untuk membahaskan usul tidak percaya terhadap kerajaan.
"Saya tidak nampak keperluannya kerana Parlimen akan bersidang selepas Ramadan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi di PWTC hari ini.
Parlimen dijadual bersidang semula pada 13 Oktober depan.
Awal hari ini, Anwar berkata, beliau telah menghantar surat kepada Abdullah supaya mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinannya.
Katanya, beliau telah membuat permohonan rasmi meminta supaya diadakan sidang tergempar Parlimen untuk membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah, selewat-lewatnya pada 23 September.
Untuk tujuan persidangan tergempar parlimen itu, Abdullah berkata surat yang dihantar oleh Anwar "perlu dalam bentuk surat, bukan kenyataan akhbar".

No comments:
Post a Comment