Followers

Tuesday, May 05, 2009

perbicaraan krisis di Perak

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini Isnin bahawa beliau tidak meminta Sultan Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan.

Katanya semasa beliau menghadap Sultan Azlan Shah mengenai krisis politik di negeri itu pada 4 Feb lepas, beliau masih mendapat kepercayaan penuh majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (Adun).

Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dalam prosiding di sini hari ini untuk memeriksa balas afidavit yang diikrarkan oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, yang didakwa oleh Mohammad Nizar adalah tidak konsisten dengan fakta sebenar semasa beliau menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb.

Mohammad Nizar yang mencabar pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak, juga menawarkan untuk diperiksa balas.

Dalam prosiding bermula 3 petang hari ini, peguam Datuk Cecil Abraham, yang mewakili Zambry, bertanya kepada Mohammad Nizar mengenai berapa ramai wakil anggota DUN yang menyokongnya semasa beliau menghadap Sultan Azlan Shah. Mohammad Nizar menjawab "28 anggota Dewan Undangan Negeri".

"Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa Barisan Nasional mempunyai 31 kerusi pada ketika itu?" soal Cecil.

"Yang rasmi hanya ada 28. Saya tak tahu yang 3 (anggota Dewan Undangan Negeri DUN) lagi kerana mereka tidak dapat dihubungi. Saya tidak tahu sama ada mereka sokong Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional. Yang saya tahu cuma mereka meletak jawatan," kata Mohammad Nizar.

Beliau merujuk kepada tiga Adun -- Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) yang dilaporkan mengosongkan kerusi masing-masing melalui surat bertarikh 20 Jan dan 3 Feb.

Cecil: "Semasa Datuk Seri menghadap Sultan pada 4 Feb, adakah Datuk Seri sedar yang tiga Adun berkenaan telah menarik balik surat peletakan jawatan mereka?"

Mohammad Nizar: "Saya tidak sedar."

Cecil: "Adakah Datuk Seri menyatakan sebagai menteri besar pada ketika itu, Speaker tidak memaklumkan kepada Datuk Seri mengenai perkembangan tentang apa yang berlaku, sebelum 4 Feb, 2009?"

Mohammad Nizar: "Saya tidak dimaklumkan."

Cecil: "Datuk Seri sudah tentunya mempunyai seorang speaker yang tidak efisien! Adakah Datuk Seri anggap speaker sebagai seorang yang tidak efisien?"

Mohammad Nizar: "Soalan itu tidak relevan."

Terdahulu dalam prosiding itu, Ahmad Kamal, 46, dalam keterangannya semasa diperiksa balas oleh peguam Ranjit Singh, tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela itu bahawa beliau adalah saksi yang berat sebelah dalam kes itu.

"Malahan, anda pernah mewakili responden sebelum ini dalam kes ini dan anda mungkin mendapatkan arahan dan nasihat beliau untuk membantah dalam kes ini , kata Ranjit dan dinafikan oleh Ahmad Kamal.

Ahmad Kamal, dalam keterangannya mengaku yang beliau pernah mewakili Zambry sebelum ini dan beliau diarahkan oleh peguam yang mewakili Zambry untuk mengikrarkan afidavit untuk menyatakan apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb.

"Bila kes ini telah diambil alih oleh peguam, dan setelah (mereka) mengetahui bahawa saya mengetahui apa yang berlaku pada 4 hingga 6 Feb, maka dari hasil perbincangan peguam dan saya, saya mengikrarkan apa yang saya tahu pada 4 hingga 6 Feb.

Kepada soalan kenapa beliau menyatakan afidavit itu diikrarkan tanpa sebarang kepentingan peribadi, Ahmad Kamal menjelaskan: "Sebagai Penasihat Undang-undang, saya adalah penjawat awam dan mempunyai pendirian berkecuali.

"Kalaupun saya mengikrarkan afidavit ini bagi pihak responden, ini tidak bermakna yang saya akan menyebelahi responden kerana sebagai Penasihat Undang-undang Negeri, saya adalah berkewajipan untuk menyampaikan apa yang saya tahu pada tarikh-tarikh tersebut.

"Bagi saya sama ada pemohon atau responden yang menang dalam kes ini, ianya tidak memberi apa-apa kelebihan atau keuntungan bagi diri saya. Kerana saya ialah Penasihat Undang-undang Negeri bukan penasihat undang-undang kepada parti politik," katanya.

Ahmad Kamal juga berkata beberapa bahagian dalam afidavit yang diikrarkan oleh Mohammad Nizar adalah tidak benar.

Ranjit: "Saya cadangkan kepada anda bahawa pemohon (Mohammad Nizar) telah berkata kepada Sultan bahawa 'saya telah memaklumkan Sultan bahawa oleh kerana ketiga-tiga Jamaluddin, Osman dan Hee telah meletakkan jawatan mereka, mereka bukanlah ahli DUN lagi dan tidak berhak melibatkan diri dalam urusan atau perkara berkenaan DUN. Ketiga-tiga mereka juga tidak dapat dihubungi yang ini sangat luar biasa, dan nampaknya mereka telah hilang."

Ahmad Kamal: "Sebahagian betul, sebahagian tidak betul. Bahagian yang 'mereka tidak dapat dihubungi dan hilang', betul. Yang lain tidak betul."

Ranjit: "Saya cadangkan kepada anda bahawa pemohon telah berkata kepada Sultan bahawa 'saya memohon Sultan untuk membubarkan DUN kerana ia lebih wajar dan sesuai untuk pilihan raya bagi DUN Perak diadakan demi mengelakkan keadaan jalan buntu dalam DUN dan hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri Perak."

Ahmad Kamal: "Saya setuju bahagian 'mohon bubarkan DUN' tapi alasan pembubaran saya tidak setuju (pemohon ada mengatakan kepada Sultan).

Hakim Abdul Aziz menghentikan prosiding pada 6.45 petang dan menetapkan prosiding disambung 10.30 pagi esok.

sumber PerisikRakyat

No comments:

translator..

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
by : BTF

Fakta Perak

Kerajaan PR hanya memberi tanah 102,000 lot kampung tersusun (kebanyakan Melayu) melibatkan 7,000 ekar. Manakala 47,000 lot kampung baru (kebanyakan China) dan sebilangan kecil kampung adat (orang asli). Jumlah yang diberi kepada orang China adalah 3,000 ekar sahaja. Itupun tanah yang sudah diduduki orang China lebih daripada 70 tahun lalu.
  • 22,000 ekar ( Ya! Dua Puluh Dua RIBU ekar) tanah kerajaan di gadai kepada gergasi KLK (KL Kepong) di Lekir, Manjung.
    5,000 ekar di Bruas 1500 ekar kepada MCA di Bandar Baru , Kampar (UTAR)
  • 200 ekar tapak kilang simen Perak Hanjoong (sekarang YTL kerana di gadai oleh pemimpin UMNO kepada YTL! ) Ini tanah rizab melayu di Padang Rengas, Kuala Kangsar dekat Highway!
  • Kerajaan Umno/BN Perak gadai tanah kerajaan di beberapa lokasi komersial di tengah bandar Ipoh, Taiping, Bidor , Kinta, dan Perak kepada taukeh-taukeh jika sekiranya BN kembali berkuasa pada 9 Mac 2008 (selepas PRU-12).
  • 9 ribu hektar tanah Rezab Melayu di Selangor telah ditukar status kepada bukan rezab Melayu. Hanya 1/3 sahaja (lebih kurang 3 ribu hektar sahaja yang diganti. Selebihnya jin tanah makan.
  • Pada tahun 1990, seramai 80 orang penduduk di Pantai Chenang Langkawi yang duduk di atas tanah rezab Melayu dihalau untuk membina Pelangi Beach Resort.
  • Pada tahun 1990, sebanyak 930 hektar tanah Rezab Melayu Kampung Mambau Negeri Sembilan telah diambil untuk projek Seremban 2. Sebelumnya terdapat 600 orang yang tinggal disitu.
  • 26,000 hektar (dua puluh enam ribu) tanah rezab Melayu di Tanjung Langsat-Tanjung Pia Johor diambil untuk New Town Ship. Projek yang diusahakan oleh Kuok Brother Collabratioan UEM.
  • 300 ekar tanah Rezab Melayu di Pulau Redang Teregganu kepada Vincent Tan untuk projek perlancungan.
  • Pada tahun 1993, 1000 ekar tanah Rezab Melayu di Kerpan Kedah (tapak sawah yang subur) untuk projek kolam udang.
  • 13 Jun 2008 (Utusan Malaysia) melaporkan penduduk sekitar daerah Kota Tinggi, kecewa dengan tindakan pejabat tanah menolak permohonan mereka mendapatkan tanah seluas 182.11 hektar di Batu 15 Jalan Kulai, Mukim Ulu Sungai Johor di sini. Tanah yang sudah dipohon sejak 20 tahun dahulu telah diberi kepada syarikat bukan bumiputera. Ini siapa punya angkara? PR atau Umno.
  • Akibat kebodohan pemimpin Umno menyebabkan Pulau Batu Putih pun terlepas yang dapat hanya pulau tenggelam timbul (Batuan Tengah dan Tubir Selatan). Kalau air pasang batu tenggelam, kalau air surut maka Pulau Batu itu timbul. Inilah yang disebut oleh Datuk Rais Yatim Menteri Luar menang-menang. Menang pada Umno ialah Singapura dapat pulau yang tidak tenggelam, manakala Malaysia hadhari dapat pulau tenggelam timbul. Ini lah lawaknya pemimpin Umno yang jaga kedaulatan negara.
  • Kampung Chu Badak Sentul Kuala Lumpur, sebanyak 273 ekar tanah kampung Melayu tradisi telah menyebabkan kira-kira 160 keluarga telah dihalau keluar kerana pembangunan mega akan dibuat disitu.
  • Tanah rezab Melayu seluas 94 ekar yang diteroka sejak 72 tahun telah terkorban untuk projek Pencala Link dekat Damansara Kuala Lumpur.
    Sebanyak 840 hektar tanah rezab melayu di Pahang bakal hilang apabila projek ECER (Koridor ekonomi pantai timur)
  • Pengkhianatan Umno kepada orang Melayu telah berjaya menghilangkan tanah rezab Melayu dari 3juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar (1995). Bermakna 44% tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun. Nampaknya penjajah lebih berhati perut daripada pemimpin Umno dalam menjaga orang melayu. Kalau tidak disekat maka tahun 2020 tanah rezab Melayu hanya tinggal 30% sahaja.

Perberbelanjaan Pilhanraya Kecil