"Peristiwa yang tercatat dalam sejarah negara ini sebelum PRU 12 ialah pembohongan PM tentang tarikhnya. Semua rakyat tahu tentang hal itu. Semasa berkempen, BN berjanji tidak akan menaikkan harga minyak. Yang terjadi adalah sebaliknya. Sebelum mengundi, SPR mengumumkan pembatalan penggunaan dakwat kekal semata-mata berdasarkan khabar angin. Kemudian diikuti dengan saling menuduh antara PM dengan SPR. Hal ini tidak mungkin hilang dari ingatan semua rakyat Malaysia. Kesemuanya merupakan pembohongan besar kerajaan kepada rakyat. Kini rakyat terpinga-pinga apabila PM bercakap tentang fitnah, bohong, dan khianat setelah memiliki rekod buruk tersebut.
Hakikatnya BN berada dalam keadaan kelam kabut sejak berakhirnya PRU 12 hingga kini. Keadaan ini diburukkan lagi oleh desakan PM meletakkan jawatan. Desakan itu bukan sahaja datang dari dalam malahan juga dari luar BN. Kini keadaan sudah semakin serabut dan sukar dirongkaikan. Akhirnya, PM mengumumkan bahawa tarikh peralihan kuasa ialah pada Jun 2010. Tempoh itu sangat lama dalam kamus politik. Pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh itu. Najib pasti mengetahuinya. Sama ada bakal PM itu yakin atau tidak terhadap ketidaktentuan nasibnya, kita akan dapat menyaksikannya melalui tindak tanduk beliau selepas ini serta ranjau berduri yang terpaksa ditempuhinya. Kesemuanya gara-gara kegelabahan, tidak konsisten, tidak boleh dipercayai, salah langkah, dan kedegilan.
Sejak awal lagi BN telah salah langkah. Pengguguran ramai mantan ADUN dan MP serta turun dan naik pangkat dalam kalangan ADUN dan MP memberi kesan kepada sokongan pengundi terhadap calon yang dikemukakan. Akibatnya, ramai yang kalah. Kesalahan yang sama berulang lagi semasa melantik menteri dan timbalan menteri. Ada menteri yang dilantik bukan sahaja tidak bertanding dalam pilihan raya malah pernah terlibat dalam rasuah politik serta tertangkap kerana membawa wang berjuta-juta ringgit di luar negara. Tindakan bodoh ini menimbulkan dua bahana. Pertama, banyak MP BN yang menang tidak berkualiti. Kedua, kabinet Malaysia dianggotai oleh orang yang tidak bersih.
Di samping itu, peruntukan jawatan kabinet mengkesampingkan sumbangan Sabah dan Sarawak yang menjadi teras kemenangan BN di parlimen. Mungkinkah kebanyakan MP dari Sabah dan Sarawak terdiri daripada calon tangkap muat sahaja? Atau ramai yang tak boleh pakai? Rasa tidak puas hati MP Sabah dan Sarawak tidak dipedulikan. Sebaliknya, berbillion ringgit ditabur kepada rakyat kedua-dua negeri itu dengan tujuan menambahbaikkan sosioekonomi mereka.
Sementara matlamat itu masih belum pasti dicapai berdasarkan negeri-negeri itu terus mundur walaupun sudah lapan Rancangan Malaysia dilancarkan dan berkali-kali belanjawan negara dibentangkan, satu masalah baru timbul, iaitu Sabah dan Sarawak kini dianggap sebagai anak emas kerajaan persekutuan. Kewujudan gejala-gejala itu membuktikan bahawa kerajaan BN berada dalam keadaan gelabah. Kegelabahan telah mendorong kerajaan BN membuat keputusan yang tergesa-gesa.
Mereka tergesa-gesa menaikkan harga minyak. Tuntutan rakyat supaya harga minyak diturunkan tidak dilayan. Apabila stesen minyak hendak ditutup gara-gara komisen rendah, kerajaan meluluskan kenaikan komisen. Apabila SAPP hendak menyokong usul tidak percaya terhadap PM, BN segera menubuhkan jawatankuasa membanteras PATI di Sabah. Tentunya untuk memujuk SAPP kerana parti itulah yang bersuara lantang tentang perkara tersebut selepas menyedari tindakan mengugut MP dari SAPP sebagai satu kesilapan. Perlakuan ini membuktikan betapa tidak konsistennya tindak tanduk BN mentadbir negara.
Selain itu, BN kaya dengan pemimpin yang tidak boleh dipercayai. Rasuah, taik judi, mencuri harta negara, dan sebagainya menjadi amalan mereka. Sudah ramai yang dihukum kerana menerima rasuah dan memberi rasuah. Ada yang berhutang berjuta-juta pound sterling kerana kalah judi. Ada yang terus mendalangi pencurian bijih besi di Pahang ikut laporan TV3. Walau bagaimanapun, golongan ini tidak berasa malu. Dengan muka selamba turun padang bertemu rakyat sebagai menteri. Tersengih-sengih gembira setelah tamat penggantungan kerana rasuah politik. Di mana letaknya maruah kerajaan jika begini sikap individu-individu yang mendokonginya? Ah, apa yang nak dipelikkan. Peribahasa Melayu mengatakan "Bagaimana acuan, begitulah kuihnya". Macam mana ketua begitulah anak buahnya.
Atas dasar apakah rakyat perlu mempercayai pemimpin BN? Adakah mereka perlu disokong kerana melakukan kedua-duanya, yakni membawa pembangunan dan sekali gus mengembungkan kocek masing-masing? Bolehkah kita mempercayai orang yang dulunya sanggup berbuat apa sahaja demi bosnya kini beria-ia menongkah arus? Persoalannya kesetiaan dan dan harga diri mereka dihumbankan ke mana? Sekiranya kita menerima perlakuan-perlakuan itu bertentangan dengan moral dan agama, apakah yang perlu dilakukan? Jika jawapannya mereka perlu disingkirkan, apa yang ditunggu-tunggu lagi. SINGKIRKAN MEREKA!!! SINGKIRKAN MEREKA!!! SINGKIRKAN MEREKA!!!
BERSAMBUNG.... "
~nukilan ruhan~
No comments:
Post a Comment