Amat sukar bagi mana-mana parti politik pembangkang mahu menggugat UMNO. Tengku Abdul Rahman menjadi wira Orang Melayu, beliau disanjung sebagai bapak kemerdekaan, dan melalui sikap “Tidak Apanya”, beliau berjaya menyatu-padukan masyarakat berbilang kaum dengan keyakinan Orang Cina dan India bahawa UMNO mampu memimpin.
Tun Razak meninggikan lagi semangat Orang Melayu kerana dibawah pentadbirannya ratusan ribu Orang Melayu yang hidup didalam kemiskinan tegar di kampong-kampong dapat disusun semula kedalam kawasan pemajuan luar bandar yang moden iaitu Felda. Dibawah pentadbiannya RISDA diberikan nafas baru, dan orang-orang kampong yang tidak menyertai Felda diberi peluang menyertai FELCRA.
Dasar Ekonomi baru yang diperkenalkan oleh Tun Razak berjaya membawa keluar anak-anak muda dari kampong ke menara gading didalam dan luar negara.
Dengan kejayaan-kejayaan seperti ini, mana mungkin UMNO dapat diganggu-gugat oleh mana-mana parti Pembangkang.
Pentadbiran selepas Tun Hussein Onn mula membawa pecah dan rebah kepada UMNO. Dr Mahathir mentadbirakan UMNO dan Negara seolah-olah Negara ini mengamalkan sistem satu parti. Wang rakyat dibelanjakan sesuka hatinya sehingga mengeringkan Perbendaharaan.
Penentang-penentangnya didalam parti ditolak keluar. Terkeluarlah Datuk (Tun) Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Didalam tempoh 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri menyaksikan semua bangunan di Kem Tahanan Kemunting menambahkan bilangan penghuni-penghuni. Golongan yang menentangnya dan Kerajaannya disumbat ke Kemunting dibawah undang-undang jahat ISA, dan ahli-ahli politik yang berkesan dari Pembangkang tidak ada yang terlepas dari jaring ISA yang rapat. Skandal ISA yang paling hebat berlaku semasa Operasi Lalang dimana ratusan ahli-ahli politik Pembangkang semuanya disumbat kedalam Kemunting.
Tekanan kecil akan mendapat lantunan kecil. Tekanan besar akan mendapat lantunan besar. Hasil dari lantunan inilah UMNO dibawah Mahathir menjadi parti yang hilang sokongan dan popularitinya, dan dibawah Pilihanraya terakhir dibawah penadbirannya, Pembangkang berjaya dengan segar di hampir kesemua Negeri.Abdullah Ahmad Badawi memasuki gelanggang dengan imej “Mr Clean”. Rakyat mencubanya, dan Abdullah berjaya mengembalikan imej UMNO/BN dan didalam Pilihanraya pertama dibawahnya, UMNO/BN hampir berjaya membuat suatu “clean sweep” yang messif. Suatu kejayaan besar untuk UMNO/BN dan Abdullah.
Imej Mr Clean Abdullah tidak kekal lama. Didedahkan satu demi satu betapa business keluarganya diberikan keutamaan dan korupsi semakin menjadi-jadi, indeks korupsi Negara meningkat tahun demi tahun, dan pentadbiran Abdullah tidak mampu mengujudkan Kerajaan yang bersih.
Bukan saja tidak berjaya melawani rasuah dan korupsi, Kerajaan Abdullah dianggap sebagai lemah. Beliau gagal memulihkan imej Kehakiman yang tercemar, beliau gagal memperbaiki sistem Pilihanraya yang dipandang tidak demokratik. Beliau gagal menaikkan ekonomi Negara dan pendapatan rakyat. Justeru kerana itu pentadbiran Abdullah dihukum oleh Rakyat dengan memberikan undi yang begitu besar kepada Pembangkang. BN kalah di lima buah Negeri, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan kalah juga di Wilayah Persekutuan apabila BN hanya memenangi 1 dari 10 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Negeri Sembilan juga hampir jatuh ketangan Pembangkang, BN hanya menang dengan majoriti 4 kerusi sahaja; pentadbiran NS adalah rapuh dan boleh tumbang pada bila-bila masa sahaja.
Pemimpin-pemimpin UMNO tidak mahu mengambil iktibar sebenar dari kekalahannya didalam PRU-12. Mereka menjadikan kelemahan Abdullah sebagai punca utama. Mereka mahu Abdullah dikeluarkan dari pimpinan. Mereka enggan mengkaji kelemahan mereka sebenar.
Mereka tidak mahu ambil kira penyebab kelemahan UMNO yang tenat. Mereka tidak mahu ambil tahu kenapa rakyat mahu menolak UMNO. Mereka enggan menerima hakikat bahawa kesemua pimpinan tertinggi UMNO terlibat dengan rasuah dan kronisme. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa pemimpin-pemimpin UMNO berjuang untuk kepentingan diri sendiri, peribadi, keluarga dan kroni. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa pemimpin-pemimpin UMNO (kesemuanya) membeli kedudukan, melakukan rasuah untuk mendapatkan jawatan didalam parti; mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa UMNO telah dijadikan parti untuk keluarga dan kroni. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa UMNO bukan lagi berjuang untuk Agama, Bangsa, Negara dan Tanahair tetapi untuk kepentingan pemimpin-pemimpin. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa UMNO sudah menjadi sebuah parti yang mengamalkan sistem kuku besi (dictatorship — mereka adakan sekatan-sekatan untuk pertandingan bebas didalam parti, sehingga membolehkan Presiden dan lain-lain jawatan seolah-olah tidak boleh pertandingkan); mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa apa jua aduan terhadap pimpinan tertinggi parti dilindungi oleh “imuniti”.
Kesemua ini membosankan ahli-ahli UMNO, membosankan rakyat dan membosankan Negara.Kerajaan-Kerajaan Pakatan Rakyat telah meunjukkan arah pentadbiran telus dan bermaruah, berintegriti dan dihormati. Kerajaan Pakatan Perak mendapat sanjungan rakyat Perak; ia berjaya meyelesaikan masalah pemilikan tanah bagi Orang Asli, Orang Melayu dan Orang Cina, ia menjadi Kerajaan yang sangat popular dikalangan rakyat walaupun dibenci oleh orang-orang kaya yang segelintir. Tuanku Perak tentunya tidak memahami hakikat ini kerana hidup didalam kepungan tembuk batu mengelilingi Istananya.
Datuk Seri Najib yang tidak sabar-sabar mahu menjadi Perdana Menteri telah melakukan apa yang dibenci oleh rakyat. Beliau dihubungkaitkan dengan beberapa skandal besar, skandal pembunuhan Altantuya dan kehilangan saksi utama yang mengaitkan beliau dengan skandal itu, dan rakyat bertanya: Dimanakah Balakrishnan, dan kenapa dia dihilangkan sebaik saja membuat Surat Sumpah terhadap Najib? Najib juga dikaitkan dengan komisyen besar didalam pembelian Scorpene dan Eurocopter. Najib juga dilibatkan didalam mengadakan pertuduhan liwat terhadap Anwar Ibrahim, seorang pemimpin rakyat yang diharapkan dapat menyelamatkan Negara ini.
Rakyat takut mahu memberikan keyakinan kepada Najib kerana beliau belum berjaya dan tidak mahu membersihkan namanya didalam skandal-skandal ini. Skandal-skandal di Perak dengan tawaran berjuta-juta ringgit untuk wakil-wakil rakyat Pakatan menyeberangi kepada BN semuanya juga menunjuk kearah Najib Tun Razak. Mereka hilang dan berada di Pekan, Pahang dan kemudian dirumah Najib hanya mengesahkan bahawa perangkap Najib menghulurkan tawaran adalah benar kecuali dapat dibuktikan sebaliknya.
Rakyat bukan saja benci kepada Najib Tun Razak, rakyat tidak mahu Negara ini ditadbirkan oleh seorang yang bemasaalah dengan pelbagai pertuduhan skandal yang tidak dibersihkan. Dan tindakan Najib menggulingkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang disayangi di Perak menjadi suatu ledakan kebencian kepadanya, dan dengan beliau melibatkan Raja Perak, menjadikan Najib manusia yang paling jijik untuk diterima sebagai pemimpin UMNO/BN dan Negara.
Dengan Najib meneruskan agendanya untuk menjadi Perdana Menteri menjadi sempadan kepada ahli-ahli UMNO dan rakyat untuk menyokong parti itu, dan rakyat dengan pantas menukarkan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Najib Razak yang berjaya memusnahkan UMNO/BN dengan sekelip mata.
MCA-MIC yang menjadi rakan kongsi utama kepada UMNO, dan Gerakan-PPP yang menjadi rakan kongsi tempelan kepada UMNO, menjadi terjejas serta merta kerana Kerajaan Najib di Perak tidak mempunyai perwakilan dari Orang India dan hanya seorang dari Orang Cina. Adakah Kerajaan seperti ini boleh diterima oleh rakyat dari kaum Cina dan India? Sekali-kali tidak, dan kesan ini dirasakan diseluruh Negara.
Oleh Suhaimi Said
No comments:
Post a Comment